BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Photobucket

"Ya Allah, jangan Engkau memberikan kepadaku
dari kenikmatan dunia yang terlalu banyak
agar
aku tidak melampaui batas larangan-Mu.
Jangan pula terlalu sedikit sehingga

aku lupa kepada-Mu.
Sesungguhnya yang sedikit tapi mencukupi,

lebih baik bagiku
daripada yang banyak tetapi melalaikan"

Monday, September 20, 2010

SIAPAKAH GOLONGAN TERASING (AL-GHURABA') ?

Artikel ini ana share dari seorang sahabat yang selalu mengingatkan tentang ASWJ….mantap sunggup…tidak rugi saudara/ri membacanya..semoga kita tergolong dalam kalangan ini…Amin Ya Rabb… (‘’’)_^,^_(‘’’)

Dalam sebuah hadith, Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam bersabda:

بَدَأَ اْلإِسْلاَمُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

Islam awalnya asing dan kelak akan kembali menjadi asing sebagaimana awalnya maka beruntunglah bagi al-Ghuraba' (orang-orang yang asing). - H/R Muslim, no. 145 bersumberkan daripada Abu Hurairah radhiallahu'anhu.

Dalam hadith di atas, Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam menjelaskan kepada kita, umatnya mengenai sifat keasingan agama Islam ketika ia mula-mula didakwahkan oleh baginda shallallahu'alaihi wasallam kepada umat manusia. Kemudian dalam hadith yang sama, Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam juga mengingatkan kepada kita bahawa sifat keasingan ajaran agama ini akan kembali berulang di akhir zaman sebagaimana ketika awalnya ia dibawa dan diamalkan oleh baginda shallallahu'alaihi wasallam dan juga para sahabatnya radhiallahu'anhum.

Seiring dengan perkhabaran mengenai sifat keasingan ajaran Islam ini, Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam juga menerangkan bahawa di sebalik keasingan ajaran Islam itu akan wujud sekelompok manusia dari kalangan umatnya yang digelar sebagai al-Ghuraba' dimana mereka ini telah mendapat jaminan Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam dengan anugerah nikmat kebahagiaan daripada Allah Suhanahu wa Ta’ala.

Persoalannya; siapakah golongan al-Ghuraba' itu dan apakah ciri-ciri mereka? Bagi menjawab persoalan ini, marilah kita semak bersama hadis-hadis Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam, keterangan atsar para sahabat serta penjelasan para alim ulamak bermanhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sebagaimana yang mengikutinya di bawah ini.

Siapakah al-Ghuraba'?

Terdapat banyak hadith yang menjelaskan secara terperinci mengenai ciri-ciri al-Ghuraba', di antaranya adalah seperti berikut:

Sabda Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam:

النُّزَّاعُ مِنَ الْقَبَائِلِ.

Orang-orang yang tersingkir jauh dari kabilah-kabilah (kelompok) mereka. - Hadis riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad jld. 1, ms. 398, bersumberkan daripada ‘Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anh.

'Abd Allah bin 'Amr al-'Ash radhiallahu'anhu meriwayatkan bahawa pada suatu ketika Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam pernah ditanya mengenai makna al-Ghuraba', baginda shallallahu'alaihi wasallam menjawab dengan sabdanya:

أناس صالحون في أناس سوء كثير من يعصيهم أكثر ممن يعطيعهم.

Orang-orang shalih yang berada di tengan banyaknya orang-orang yang buruk, orang yang menderhakai (menentang) mereka lebih banyak daripada mentaati mereka. – H/R Ahmad 2/177,22 dan disahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir dalam tahqiq Musnad Imam Ahmad 6/207, no. 6650.

Sementara itu, dalam riwayat yang lain Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam menyebut:

اَلَّذيْنَ يُصَلِحُوْنَ عِنْدَ فَسَادِ النَّاسِ.

Iaitu orang-orang yang sentiasa memperbaiki (umat) di tengah-tengah rosaknya manusia. - H/R al-Lalika'i dalam Syarh Ushul I'tiqad Ahl al-Sunnah, no. 173. Lihat Silsilah al-Ahadith al-Shahihah, no. 1273.

Dalam lafaz yang lain pula disebutkan:

... اَلَّذيْنَ يُصَلِحُوْنَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ مِنْ بَعْدِي مِنْ سُنَّتِي.

Iaitu orang-orang yang memperbaiki sunnahku selepas peninggalanku sesudah dirosakkan oleh manusia. – H/R at-Tirmdzi, no. 2630 dan beliau menjelaskan bahawa hadis ini adalah hasah shahih.

Ringkasnya, sesiapa sahaja di kalangan umat Islam yang berpegang teguh kepada al-Sunnah Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam yang sahih sebagaimana asalnya, mempertahankan ketulenan ajarannya daripada pencemaran pelbagai bid’ah serta berusaha mendakwahkannya kepada umat manusia maka dia termasuk dalam kalangan al-Ghuraba' sepertimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam menerusi hadisnya di atas.

Setelah kita mengetahui ciri-ciri umum al-Ghuraba’ di atas, maka persoalan kedua menyusul: Mengapakah mereka yang berpegang teguh kepada al-Sunnah Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam ini dianggap sebagai golongan yang terasing? Dalam menjawab persoalan ini, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (751H) menulis di dalam kitabnya, Madarijus Salikin, jld. 3, ms. 199-200:

Ia adalah orang yang asing dalam agamanya kerana rosaknya agama manusia. Dia asing dalam berpegangnya terhadap al-Sunnah kerana (kebanyakan) manusia berpegang kepada bid’ah. Asing pada keyakinannya kerana telah rosak keyakinan manusia. Asing pada (tatacara mengerjakan) solatnya kerana buruknya solat manusia. Asing pada jalannya (iaitu manhajnya) kerana sesat dan rosaknya jalan manusia. Asing pada nisbahnya kerana rosaknya nisbah manusia. Asing dalam pergaulannya bersama manusia kerana dia bergaul dengan apa yang tidak diinginkan oleh hawa nafsu manusia. Kesimpulannya, dia asing dalam urusan dunia dan akhiratnya serta tidak menemukan seorang penolong dan pembela. Dia adalah orang yang berilmu di tengah orang-orang jahil, pemegang al-Sunnah di tengah bid’ah, penyeru kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya di tengah orang-orang yang menyeru kepada hawa nafsu dan bid’ah, penyeru kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran di tengah kaum dimana yang mungkar menjadi makruf. - Dinukil daripada artikel Siapakah Ahlus Sunnah? karya Ustaz Abu Usamah Abdurrahman bin Rawiyah an-Nawawi; dalam majalah Asy-Syariah Edisi 2 (Penerbit Qase Media, Yogyakarta), ms.74.

Berdasarkan huraian di atas maka dapatlah disimpulkan bahawa:

  1. Islam dan ajarannya adalah suatu yang bersifat yang asing di sisi kehidupan majoriti umat manusia dan dengan sifat keasingannya ini menjadikan setiap orang yang berpegang teguh kepada ajarannya akan menjadi golongan terasing atau tersisih daripada manusia lain yang ingkar kepada ajaran yang dibawa oleh agama Islam.
  2. Sesiapa sahaja di dunia ini yang berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang sahih sebagaimana asalnya maka mereka termasuk dalam kelompok yang digelar sebagai al-Ghuraba’.
  3. Golongan al-Ghuraba’ akan dijanjikan dengan kebahagiaan berupa nikmat kebahagiaan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala, di dunia mahupun di akhirat.

***PENUTUP***

Sebagai penutup, marilah kita hayati sejenak wasiat daripada dua orang tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah di bawah ini. Mudah-mudahan dengan wasiat ini akan menjadi penggerak kepada kita untuk terus istiqamah berpegang teguh kepada ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih agar dengan ini kita termasuk dalam golongan al-Ghuraba’ yang pastinya akan mendapat ganjaran berupa nikmat kebahagiaan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dua orang tokoh yang penulis maksudkan tersebut ialah Imam al-Hasan al-Basri rahimahullah dan Sufyan al-Tsauri rahimahullah. Imam al-Hasan al-Basri rahimahullah berkata:

Sesungguhnya Ahl al-Sunnah mereka adalah manusia yang sedikit jumlahnya pada zaman-zaman yang telah lalu dan mereka juga sedikit jumlahnya pada masa yang akan datang. Mereka ialah orang-orang yang tidak pergi bersama-sama dengan golongan yang mewah dalam kemewahan mereka. Dan tidak pula pergi bersama-sama dengan Ahl al-Bid’ah dalam melakukan bid’ah-bid’ah mereka. Mereka tetap bersabar di atas sunnah mereka sehinggalah mereka menemui Tuhan mereka. maka begitulah keadaan Ahl al-Sunnah, Insya Allah. Maka hendaklah kamu seperti mereka. - Lihat Ilmu Ushul al-Bida’ karya Syeikh Ali bin Hasan al-Halabi, ms. 272.

Sementara itu, Sufyan al-Tsauri rahimahullah pula berpesan bahawa:

Aku wasiatkan kalian untuk tetap berpegang kepada Ahl al-Sunnah dengan baik, kerana mereka adalah al-Ghuraba'. Alangkah sedikitnya Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. - Lihat Syarh Ushul I'tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah 1/71, no. 49 dan 50; dalam Syarah 'Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama'ah karya Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas (Pustaka Imam asy-Syafi'i, Bogor, 2006), ms. 42.

Sekian..wassalam..

Sumber dari..

http://www.facebook.com/notes.php?id=1535206736#!/note.php?note_id=158180880874844

0 comments: